NOVEMBER 2022

Agong Cadang GPS Pertimbang Penubuhan Kerajaan Perpaduan


KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi pandangan agar Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan atau ‘unity government’. 

Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Al-Sultan Abdullah telah memberikan cadangan tersebut memandangkan tiada gabungan politik yang mempunyai majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, perkara tersebut merupakan hasil perbincangan ketika beliau bersama tiga lagi wakil GPS iaitu Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli Parlimen Serian, Dato Sri (Dr) Richard Riot Jaem serta Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara sekitar jam 11.30 pagi Rabu.

“Al-Sultan Abdullah telah memberi nasihat bahawa dalam keadaan di mana tidak ada seorang yang dapat majoriti mudah untuk sokongan menjadi Perdana Menteri, maka Seri Paduka Baginda berhasrat kita berbincang untuk mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada petang Rabu. 

Dato Sri Fadillah menjelaskan, rombongan GPS itu telah memberi taklimat kepada Premier Sarawak berkenaan perkara-perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan pagi itu.  

“Seperti mana yang telah diputuskan melalui kenyataan GPS sebelum ini, GPS memang berhasrat dari segi sokongannya untuk menubuhkan kerajaan bersama beberapa parti. 

“Tapi pada masa sama, kita juga akan patuh kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda. 

“Kalau itu adalah keputusan Seri Paduka Baginda (tubuh kerajaan perpaduan), kita akan akur, kita akan bersetuju,” katanya.  

Sementara itu, Premier Sarawak ketika ditemui media berkata, perbincangan masih dibuat berkaitan perkara tersebut dan GPS akan menunggu keputusan Seri Paduka Baginda. -EDISI UKAS 

Sumber dari : UKAS